Thursday, 10 March 2011

Keris



Keris merupakan senjata pendek yang digunakan oleh orang Melayu sejak zaman keagungan pemerintahan Kesultanan Melayu, lebih daripada 800 tahun yang lampau terutamanya pendekar, pahlawan serta kalangan pembesar istana. Satu alat kebesaran bagi raja-raja atau lambang kekuasaan atau kedaulatan. Keris mempunyai dua belah mata, melebar dipangkal dan tirus dihujungnya serta tajam. Terdapat mata keris yang lurus dan berlok-lok dengan keindahan pamor serta hulu yang menarik dan juga sarungnya.

Sang Guna adalah orang pertama dizaman Sultan Muhammad Syah Melaka telah membuat keris tempa panjang, berukuran tiga jengkal. Unsur logam campuran besi dan tahi bintang adalah bahan utama membuat keris tersebut.

Hulu Keris

Ulu keris berukuran sepanjang lebih kurang 15sm. berkeadaan membengkok dibahagian tengahnya seperti bentuk kepala tongkat. Diukir dengan tangan sepenuhnya dan mempunyai nilai estetika Melayu yang diperbuat daripada perdu atau tunjang kayu (kemuning, tegor, tempinis, sena,celagi, petai belalang, boai, lebang dan kayu hitam), gading gajah, tanduk, gigi ikan paus, emas, perak, besi dan kemor (sejenis batu karang).

Pelbagai nama telah diberikan seperti Anak Ayam Teleng, Anak Ayam Sejuk, Jawa Demam, Kakaktua, Tapak Kuda dan Pekaka. Penjelmaan rekabentuknya menggambarkan kekuatan dan kekuasaan senjata tersebut yang bersifat raksaksa dan garuda. Ragamhias hulu keris kebanyakannya bermotifkan bunga timbul, awan larat, bunga tebuk, ketam guri, bentuk fauna dan juga bentuk dewa Hindu dengan imbasan wajah manusia.
Pendongkok
Dikenali juga sebagai dokok, pendongkok, dulang-dulang keris atau memendak. Diperbuat dari logam, tembaga, perak atau emas. Berbentuk seperti bunga dan berukiran bunga dawai pintal yang bertatahkan batu permata atau ukiran biasa sahaja. Pendongkok dipasangkan melekap pada pangkal hulu keris dibahagian permukaan ganja.

Bilah Keris

Keris mempunyai berbagai-bagai bentuk dan ukuran. Kebanyakan keris terdiri dari jenis yang berlok, samada tiga, lima, tujuh atau sembilan dan lurus. Terdapat juga keris yang panjang berukuran 61sm. dengan matanya berbentuk mata pedang seperti Keris Sundang dan ada yang sehingga 29 lok. Tiga aspek penting mata keris adalah rupa awan larat dan corak pamor, bentuknya dan corak berombak yang wujud dari campuran logam dan nikel.
Keris juga diibaratkan sebagai insan, sesetengah Empu atau pembuat keris memasukkan unsur magis atau penunggu kepada senjata itu, supaya ianya lebih memberikan kekuasaan.
Paksi
Ganja
Dagu
Kepala Cicak
Leher
Perut
Sepit Rotan
Ekor
Kepit
Aring
Gandik
Kembang kacang
Belalai Gajah
Bibir Gajah
Rigi
Janggut
Tulang Keris
Hujung Keris
Tuntung Keris

Sampir dan Batang

Sampir adalah sarung dibahagian ganja dan aring keris. Berbentuk seperti sampan melintang pada kedudukan keris. Diperbuat dari jenis kayu sama seperti hulu keris juga dan sesetengah sampir diukir pada kayunya atau disaluti emas, perak atau tidak diukir langsung, hanya corak urat kayu tersebut telah menampakkan keindahannya.

Batang merupakan sarung kepada bilah keris ia lurus serta agak meruncing sedikit pada hujungnya. Diperbuat daripada kayu dan diukir dengan ukiran bermotifkan flora, tetapi terdapat juga yang tidak diukir. Kebiasaannya pada hujung batang ini akan disarungkan dengan buntut yang diperbuat dari perak, emas, tanduk atau gading.

Jenis Keris

Berbagai jenis keris terdapat di Nusantara Melayu dan kegunaannya selain sebagai senjata, regalia terhadap Raja Melayu dan perubatan.
Keris Sepukal
Keris Sempena
Keris Cerita
Keris Picit
Keris Tajung
Keris Sulok Belingkong - lok tiga
Keris Apit Liang - lok lima
Keris Jenoya - lok tujuh
Keris Rantai - mempunyai sembilan hingga 21 lok
Keris Andus - mempunyai 23 hingga 29 lok

Wau




Teraju tiga sememangnya sinonim dengan wau, juga dikenali sebagai layang-layang di negeri-negeri sebelah pantai barat semenanjung. Sebagai permainan masa lapang bagi kalangan rakyat biasa dan golongan istana. Sejak zaman-berzaman sekitar kurun kelima belas, wau telah dimainkan oleh orang Melayu. Mereka telah mempercayai ada kaitan di antara semangat angin dan langit.

Jenis Wau
Berbagai jenis dan bentuk wau telah dicipta. Wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah, wau barat dan yang sangat digemari oleh orang Melayu ialah wau bulan. Rekacorak bermotifkan awan larat pada kebiasaannya adalah menghiasi kebanyakan wau yang dihasilkan dengan berwarna-warni. Kelantan dan Terengganu sehingga kini masih mengekalkan tradisi pembuatan wau yang menarik, selain dijadikan untuk permainan ianya juga sebagai hasil kraftangan dan hiasan dinding.

Membuat Wau
Pembuatan sesebuah wau agak rumit dan memakan masa, dari kerja-kerja meraut buluh untuk dijadikan rangka, mengimbang stabilkan kepak sehingga melekatkan kertas pada rangka wau tersebut mengambil masa dua minggu untuk siap. Rangka buluh tulang belakang wau lebih besar daripada kepaknya, kemudian diikat dengan menggunakan benang mengikut bentuk serta jenisnya.
Rangka yang telah disiapkan akan ditampal dengan tiga lapis kertas nipis dan lutsinar dengan berlainan warna. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat, lapisan kedua menggunakan warna yang berbeza dan bercorak awan larat iaitu bercorak pucuk rebung atau bunga cengkih yang telah ditebuk. Pada lapisan ketiga pula corak berlainan yang telah ditebuk ditampalkan.

Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni menambah cantik lagi rupanya. Busul akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan diudara. Busul diperbuat dari daun rembia atau mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi wau - Teraju Tiga.

Cara Bermain
Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni.

Di masa kini walaupun wau masih mendapat tempat dikalangan masyarakat Melayu tetapi layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di
Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.


Wau Bulan
Wau Bulan
Wau Payung
Wau Kucing